Kisah Kita Bermula Dari Bani Adam

 

Kisah kita bermula daripada bapa kita yang mulia, Adam as.. Segalanya diceritakan di dalam Al-Quran. Bermula dengan dialog yang bersejarah mengenai tujuan penciptaan kita manusia, seterusnya disambung dengan rantaian liku-liku perjuangan yang harus kita tempuh untuk kembali ke kediaman asal kita, syurga.

Adam as. adalah manusia pertama yang dicipta Allah ta’ala dan kita mewarisi karekteristik bapa kita Adam as.. “…Adam dijadikan lupa, maka anak cucunya dijadikan lupa; dan Adam berbuat salah, maka anak cucunya berbuat salah.”

Allah mencipta Adam daripada tanah kemudian memerintahkan malaikat dan iblis untuk sujud kepada Adam, sebagai bentuk keta’atan kepada Allah. Semua malaikat bersujud kepada Adam, kecuali Iblis yang engkar kerana merasakan dirinya jauh lebih baik daripada Adam.

“Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab, “Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”

Itulah gaya Iblis. Bapa kepada kesombongan dan keingkaran. Sekian lama hidup selesa menikmati syurga, akhirnya menjadi makhluk pertama yang membantah sekeras-kerasnya perintah Allah untuk sekali sujud kepada Adam.

Oleh kerana keingkaran Iblis terhadap perintah Allah, dia dihalau keluar daripada syurga. “(Allah) berfirman, “Maka turunlah kamu darinya (syurga); kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina.”

Allah menghina Iblis kerana kesombongannya manakala Iblis yang telah diturunkan darjat itu meminta penangguhan waktu daripada Allah untuk melunaskan dendam kesumatnya kepada manusia. Iblis bersumpah;

“(Iblis) menjawab, “Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus.”

“Kemudian, pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.”[5]

Iblis berjanji untuk membuatkan manusia ragu tentang akhirat (dari depan), merayu manusia dengan menggunakan dunia (dari belakang), dengan membuatkan mereka samar-samar dengan agama mereka (dari kanan), serta teringin untuk melakukan maksiat (dari kiri).

Sememangnya iblis akan menutupi jalan kebenaran dan menghiasi jalan kemungkaran untuk memikat manusia. Sehingga kebanyakan manusia menjadi tidak bersyukur. Mereka menerima segala nikmat daripada Allah, namun tidak menggunakannya untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan melakukan keta’atan kepada perintah-Nya. Seperti mana dakwaan iblis, “dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”.Dan jadilah mereka kawan-kawan Iblis.

Janji Iblis lagi, “Ia (Iblis) berkata, “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba – hamba Mu yang terpilih di antara mereka.”

Melihat kepada makhluk yang bernama manusia, Iblis sehingga menyoal tuhannya, “Ia (Iblis) berkata, “Terangkanlah kepadaku, inikah yang lebih Engkau muliakan daripada aku? Sekiranya Engkau memberi waktu kepadaku sampai hari kiamat, pasti akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.”

Maka berlakulah sepertimana yang telah tertulis. Iblis mencemburui Adam dan Hawa di dalam syurga. Dengan penuh tipu muslihat, helah dan pujuk rayu, Iblis berhasil memperdaya kedua-duanya. Adam dan Hawa tertipu dengan perang pemikiran yang dilancarkan Iblis. Inilah metodologi pertama dan yang paling unggul dalam menyesatkan umat manusia. Pohon larangan itu, diberi nama pohon yang kekal menjadi fokus utama serangan Iblis. Maka mereka, Adam dan Hawapun memakan buah larangan dengan harapan agar dapat terus kekal dan lebih dekat dengan Allah.

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya(ٱلْخُلْدِ), dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

“Ketika mereka mencicipi (buah) pohon itu, tampaklah oleh mereka auratnya, maka mulailah mereka menutupinya dengan daun – daun syurga. Tuhan menyeru mereka, “Bukankah Aku telah melarang kamu dari pohon itu dan Aku telah mengatakan bahawa sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

Selepas menyedari akan kesilapan mereka, Adam dan Hawa segera mengakuinya dan bertaubat.

“Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang–orang yang rugi.”

Dan Allah menerima taubat mereka,“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat daripada Tuhannya, lalu Dia pun menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat, maha penyayang.”
“Dan kami berfirman, “Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain. Dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan.”

 


Petikan dari Buku Ini Sejarah Kita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *