Al-Baqarah (Ayat 208 – 209) Dari Fi Zilal

 

Di bawah bayangan dua lukisan yang menggambarkan contoh nifaq yang jahat dan contoh iman yang bersih ini, ayat-ayat yang berikut menyeru kaum Muslimin dengan sifat iman, iaitu sifat mereka yang dikenali umum supaya masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka, dan supaya berwaspada dari mengikut jejak syaitan serta mengingatkan mereka dari tergelincir setelah mereka mendapat penerangan yang jelas:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

208. “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa kamu dan janganlah kamu menurut jejak syaitan-syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata.”

فَإِن زَلَلْتُمْ مِّن بَعْدِ مَا جَاءتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

209. “Oleh itu jika kamu tergelincir juga setelah datang kepada kamu keterangan-keterangan yang jelas, maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Itulah seruan kepada orang-orang Mu’min dengan nama keimanan iaitu seruan dengan sifat yang disukai mereka dan membezakan mereka, sifat yang menghubungkan mereka dengan Allah yang menyeru mereka agar seluruh mereka masuk ke dalam kedamaian.

Maksud pertama dari seruan ini ialah supaya orang-orang Mu’min menyerah seluruh jiwa raga mereka kepada Allah dan menyerah segala urusan mereka sama ada kecil atau besar kepada Allah. Mereka hendaklah menyerah secara mutlak kepada Allah tanpa meninggalkan sesuatu yang sumbang sama ada berupa fikiran atan perasaan, niat atau tindakan, kegemaran atau ketakutan yang tidak tunduk kepada Allah dan tidak redha dengan ketetapan dan keputusan-Nya. Mereka hendaklah memberi keta’atan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri mereka kepada qudrat Ilahi yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk, dan dengan keyakinan bahawa mereka sedang menuju ke jalan dan kesudahan yang baik dunia dan Akhirat.

Penujuan da’wah yang seperti ini kepada orang-orang yang beriman itu membayangkan bahawa di sana ada orang-orang yang masih teragak-agak untuk memberi ketaatan dan kepatuhan yang mutlak kepada Allah sama ada di dalam sulit atau di dalam terang. Wujudnya orang-orang yang seumpama ini di dalam masyarakat Islam di samping golongan orang-orang yang penuh yakin dan redha itu memanglah suatu perkara yang biasa. Da’wah ini adalah ditujukan setiap masa kepada orang-orang yang beriman supaya mereka sentiasa ikhlas kepada Allah, dan supaya aliran fikiran dan perasaan mereka ini selaras dengan kehendak Allah terhadap mereka dan selaras dengan matlamat yang dipimpin oleh nabi dan agama mereka tanpa digugatkan oleh sebarang keraguan dan keteragakan.

Apabila seseorang Islam menyambut da’wah itu dengan sambutan yang seperti itu bererti ia memasuki sebuah alam yang seluruhnya diselubungi kedamaian dan keamanan, sebuah alam yang seluruhnya dipenuhi kepercayaan dan keyakinan, kerelaan dan kemantapan, di mana tidak terdapat lagi sebarang kerunsingan dan kegelisahan, sebarang kedurhakaan dan kesesatan, iaitu kedamaian dengan jiwa dan hati nurani sendiri, kedamaian dengan akal dan logik, kedamaian dengan manusia dan makhluk-makhluk yang hidup, kedamaian dengan seluruh alam buana dan seluruh yang maujud, kedamaian dan keimanan yang menerangi liku-liku hati nurani, kedamaian dan keamanan yang memayungi kehidupan dan masyarakat, kedamaian dan keamanan di bumi dan di langit.

Kesan pertama yang dilimpahkan oleh kedamaian ini di dalam hati ialah kesahihan kefahaman dan kepercayaannya terhadap Allah, juga kejelasan dan kemudahan kefahaman dan kepercayaan itu sendiri bahawa Allah Tuhan Yang Maha Esa dan setiap Muslim hanya bertawajjuh kepada-Nya sahaja dengan hati yang teguh dan yakin. Hatinya bulat kepada Allah tanpa dikelirukan oleh berbagai-bagai kepercayaan yang lain. Ia tidak diburu oleh berbagai-bagai tuhan di sana sini seperti di dalam kepercayaan-kepercayaan paganisme dan jahiliyah. Ia hanya bertuhan kepada Allah Yang Maha Esa sahaja dan hanya kepada Allah ia membulatkan hatinya dengan penuh keyakinan, ketenteraman, terang dan jelas.

Allah Maha Kuat, Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Gagah. Setiap Muslim yang bertawajjuh kepada Allah bererti ia bertawajjuh kepada kekuatan dan kuasa yang haqiqi dan tunggal di alam al-wujud ini. Ia tidak lagi takut kepada segala kekuatan dan kuasa lain yang palsu. Dia benar-benar merasa tenteram dan senang hati. Ia tidak lagi takut kepada sesiapa dan kepada sesuatu apa kerana ia menyembah Allah yang Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Gagah. Ia tidak lagi bimbang kehilangan sesuatu dan tidak mengharapkan sesuatu pada yang lain dari Allah yang berkuasa menahan dan memberi.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kekuatan dan kudrat kuasaNya menghindarkannya dari kezaliman, dari hawa nafsu dan penganiayaan. Allah tidak sama dengan tuhan-tuhan di dalam kepercayaan-kepercayaan paganisme dan jahiliyah yang mempunyai berbagai-bagai keinginan dan kehendak hawa nafsu. Setiap Muslim yang berlindung pada Allah bererti ia telah berlindung pada satu kuasa Yang Maha Kuat, di mana ia boleh meni’mati keadilan, pembelaan dan keamanan.

Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Pemberi dan Pengurnia segala ni’mat, Pengampun dosa dan Penerima taubat. Dialah yang menyambut do’a orang yang berada di dalam kesusahan dan menghapuskan kesusahan itu apabila ia memohon kepada-Nya. Oleh itu setiap Muslim yang berada di bawah naungan-Nya merasa aman, tenteram, selamat dan beruntung. Ia diberi rahmat apabila lemah dan diberi keampunan apabila bertaubat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *